Nov 17, 2022 - FASGergasi Merah Benam Sang Penyu, Bawa Bekalan 2 Gol ke Gong Badak
Selangor FC mempamerkan aksi garang selepas berjaya menundukkan pencabar, Terengganu FC 3-1 pada perlawanan Separuh Akhir pertama TM Piala Malaysia 2022 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam tadi.
Beraksi di hadapan lebih 14 ribu penonton, kedua-dua pasukan bermula garang sejak wisel permulaan dibunyikan dengan mempamerkan aksi bertempo tinggi dengan saling berbalas serangan terhadap kubu pertahanan masing-masing.
Pasukan pelawat bagaimanapun terlebih dahulu menemui sentuhan jaringan apabila ketua pasukan mereka, Tchetche Kipre melepaskan satu rembatan deras dari sepakan percuma yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Selangor, Muhammad Khairulazhan Khalid pada minit ke-19.
Terengganu hampir menggandakan jaringan mereka hasil gerakan Faisal Halim yang berjaya memasuki kawasan penalti Selangor, namun rakan sepasukan Kpah Sherman gagal menyudahkan peluang tersebut. Khairulazhan juga turut tampil cemerlang dengan berjaya menepis percubaan dalam kotak penalti oleh Manuel Ott.
Mukhairi Ajmal yang ditugaskan untuk mengambil sepakan penjuru bijak mendapatkan Richmond Ankrah yang melompat tinggi sebelum melepaskan tandukan terus menerjah jaring Terengganu untuk menyamakan kedudukan semasa pada minit ke-37.
Jaringan tersebut jelas menyemarakkan api perjuangan merah kuning apabila Herlison Caion pantas melakukan tandukan terbang selepas sekali lagi berpunca daripada sepakan penjuru Mukhairi Ajmal untuk meletakkan Gergasi Merah dihadapan untuk separuh masa pertama.
Mukhairi Ajmal mencipta rekod peribadi apabila mencetak bantuan gol ketiga juga menerusi sepakan penjuru apabila umpanan beliau menemui Shahrul Nazeem yang menjaringkan gol pertama beliau dalam kempen Piala Malaysia pada minit ke-54 untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Skuad Sang Penyu cuba merapatkan kedudukan dengan mengasak kubu Gergasi Merah menuju ke penghujung perlawanan namun usaha dari Kpah Sherman hanya singgah di palang gol. Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat dan kemenangan ini menyaksikan Selangor membawa bekalan dua gol untuk aksi Separuh Akhir kedua di tempat lawan 21 November ini.
Sempat ditemuramah, Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan bekalan dua gol ini masih belum selamat dan menggesa pemain untuk terus kekal fokus untuk aksi kedua kelak.
“Kelebihan dua gol ini masih tak menjamin dan kami tak boleh selesa kerana kami masih ada satu lagi perlawanan di tempat lawan. Jadi, saya berharap pemain untuk kekal fokus kerana bermain di Gong Badak bukanlah sesuatu yang mudah”, ujar beliau.
Berikut adalah beberapa fakta menarik yang dapat dicatatkan dari perlawanan malam tadi:
‘Hatrick’ Bantuan Assists dari Mukhairi Ajmal
Pemain tengah, Mukhairi Ajmal berjaya membuat tiga bantuan gol untuk membantu rakan sepasukan, Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Shahrul Nazeem menjaringkan gol. Lebih menarik, kesemua bantuan jaringan ini adalah menerusi sepakan penjuru.
Gol Pertama Ankrah untuk Kelab & Gol Pertama ‘Afro’ untuk Piala Malaysia
Dua pemain pertahanan ini mencipta rekod peribadi masing-masing dengan Ankrah menjaringkan gol pertamanya untuk kelab dan Sharul Nazeem menjarikan gol pertama beliau dalam kancah Piala Malaysia.
Gol ke-5 Caion dalam 5 perlawanan Piala Malaysia
Satu gol dari pemain import kelahiran Brazil, Herlison Caion melengkapkan lima jaringan dari lima perlawanan untuk kempen Piala Malaysia setakat ini, 23 gol secara keseluruhan untuk musim ini.
Angka 14,554 Penuhi MBPJ
Jumlah kehadiran tertinggi untuk perlawanan yang melibatkan Selangor FC untuk musim 2022.
Demi Kebanggaan!